Sunday, July 29, 2007

Sel Stem

Weekend yang lepas aku berkesempatan tengok Majalah 3. Selalunya kami akan menonton Macam-macam Aznil, tapi kali ni sebab tgk TV sorang-sorang kat rumah so aku boleh pilih mana-mana chanel yang aku suka. :P

Ada satu topik yang menarik perhatian dalam rancangan Majalah 3 itu hari iaitu pasal sel stem. Bagi aku ia satu topik yang menarik dan penting juga. Ini kiranya pertama kali aku mendengar pasal sel stem ni sebenarnya. Tapi teruja jugak jadinya semasa menonton rancangan tu sebab banyak penyakit yang boleh dirawat dengan sel stem ni terutamanya penyakit talasemia. Dulu masa disekolah menengah ada seorang kawan yang ada penyakit berkenaan dan dia setiap bulan terpaksa berulang alik ke hospital untuk rawatan dan mungkin juga menambah darah merah dalam badan. Kesian sangat tengok dia sebab selalu tengok dia letih dan tak bermaya. Bila tengok rancangan ni teringat pulak kat dia. Ada lah seorang emak yang ditemuramah dalam rancangan tu yang mana anak dia yang disahkan berpenyakit talasemia telah berjaya dirawat melalui sel stem kakak kepada anak berkenaan.

Oleh kerana, ada fakta-fakta yang aku tak berapa pasti untuk ditulis maka aku mengambil keputusan untuk men'google'kan saja topik berkenaan. Ok ini adalah hasil peng'google'lan yang telah dibuat.

Kesihatan Anak: Darah tali pusat penawar ajaib
Oleh: HAFIZAH ISZAHANID (Berita Harian)

Berpotensi merawat lebih 70 jenis penyakit termasuk barah darah, penyakit jantung, kecederaan saraf tunjang dan parkinson. SECARA tradisi, tali pusat bayi yang baru dilahirkan akan diserahkan kepada bapa untuk dibasuh sebelum ditanam. Berdekad lamanya, tiada siapa mengetahui keistimewaan darah dari tali pusat dan keupayaannya sebagai penawar ajaib untuk lebih 70 jenis penyakit.

Hanya kira-kira 20 tahun lalu, saintis dan penyelidik mendapati, darah tali pusat mengandungi banyak sel dan satu daripadanya sel stem. Pada 1988, sekumpulan ahli perubatan Perancis berjaya melakukan pemindahan sel stem bagi pesakit Fanconi Anemia.

Di Malaysia, sejarah tercatat sekitar 1997 apabila Hospital Universiti (ketika itu) melakukan pemindahan sel stem darah tali pusat kepada seorang kanak-kanak pesakit talasemia major. Sel stem berkenaan didermakan adiknya yang baru dilahirkan.

Bagaimanapun sejarah itu tidak banyak kesannya kepada penduduk Malaysia secara keseluruhan. Dalam satu kajian rambang di kalangan penduduk Lembah Klang baru-baru ini, hanya 42 peratus responden tahu mengenai darah tali pusat. Jika dibandingkan dengan negara luar, Malaysia sebenarnya agak ketinggalan dari segi kesedaran dan kemudahan penyimpanan darah tali pusat.

Selain Pusat Darah Negara yang menubuhkan Bank Darah Tali Pusat pada 2002, yang menyimpan darah tali pusat untuk kegunaan awam; hanya ada dua bank darah swasta menawarkan perkhidmatan ini. Satu daripadanya StemLife Bhd yang sudah beroperasi sejak empat tahun lalu.

Pengarah Operasi StemLife Bhd, Zahrein Redza, berkata sehingga ini walaupun mereka memiliki 6,000 pelanggan, kebanyakan mereka bukan Bumiputera.
“Kesedaran Bumiputera untuk menyimpan darah tali pusat bayi masih rendah. Mungkin maklumat tidak sampai atau mereka tidak tahu ‘keajaiban’ darah tali pusat kerana jika diambil kira dari segi kos, menyimpan darah tali pusat hanya berharga RM250 setahun,” katanya.

Dari segi perubatan, tubuh manusia memiliki 200 jenis sel seperti sel hati, sel lemak, sel saraf dan sel kulit, tetapi setiap sel ini bersifat tersendiri. Sel kulit tidak boleh menjadi sel hati begitu juga sebaliknya.

Sel stem adalah sel ‘kosong’. Ia memiliki keupayaan untuk terbahagi dan menghasilkan lebih banyak sel ‘kosong’ dan merangsang pembentukan sel-sel lain seperti sel darah merah dan sel darah putih. Keupayaan itu menjadikannya sangat istimewa.

Sel stem dewasa berbeza dengan sel stem bayi. Sel stem matang bersama usia justeru menyimpannya dengan teknik yang betul, mampu mengelakkannya ‘matang’ dan berupaya menyelamatkan bayi atau ahli keluarganya di masa hadapan.

Dari mana datangnya sel stem embrio? Manusia memulakan kehidupan sebagai sel tunggal yang dikenali sebagai zigot. Sel ini boleh terbahagi dan membentuk dua sel. Dalam tempoh lima hari, pembentukan ‘blastocyst’ terjadi. ‘Blastocyst’ lebih kecil daripada pasir dan mengandungi dua sel, ‘trophoblast’ dan ‘inner cell mass’. Sel stem embrio adalah sel yang membentuk ‘inner cell mass’.

Apa perlunya menyimpan darah tali pusat? Lebih 70 jenis penyakit berpotensi dirawat menggunakan darah tali pusat. Antaranya barah darah, penyakit jantung, kecederaan saraf tunjang, parkinson dan jumlah itu bertambah dari saban tahun.

Zahrein berkata, di Malaysia penyakit talasemia major semakin meningkat. Malah dianggarkan 4.5 peratus penduduk Malaysia adalah pembawa.

“Keperluan pemindahan darah sangat mendesak untuk pesakit talasemia major. Tetapi mungkin mereka akan bertemu penawar yang mujarab jika pesakit atau ahli keluarga terdekatnya ada menyimpan darah tali pusat,” katanya.

Darah tali pusat yang disimpan tiada tarikh luput. Selagi teknik penyelenggaraannya betul (disimpan dalam nitrogen cair dengan suhu beku - 196 darjah selsius) ia sentiasa berupaya menjadi penawar kepada bayi. Jika mungkin bukan bayi itu yang memerlukannya, ayah, ibu atau adik beradik kandungnya yang berhadapan dengan penyakit kritikal masih boleh mengambil manfaat.

Begitupun, keberkesanan darah tali pusat terhadap saudara jauh atau individu di luar keluarga berkenaan bergantung kepada keadaan penyakit yang dihidapinya. Darah tali pusat yang datang dari bayi yang berhadapan dengan penyakit tertentu seperti sindrom down hanya boleh digunakan terhadapnya saja.
Keberkesanan pemindahan darah tali pusat juga bergantung pada ‘keserasian’ penderma-penerima, jumlah sel stem yang ada dalam darah tali pusat dan tahap penyakit yang dihidapi seseorang.

Zahrein berkata, di StemLife kos penyimpanan darah tali pusat pada kadar RM2,500 untuk proses pendaftaran, ujian, pemprosesan dan penyelenggaraan manakala RM250 untuk tahun kedua dan seterusnya. Jumlah itu katanya, lebih murah jika dihitung dengan harga segelas teh tarik yang dinikmati rakyat Malaysia saban pagi.

Jenis Sel Stem
a) Sel stem totipotent boleh menjadi apa saja jenis sel dalam tubuh termasuk placenta.
b) Sel stem pluripotent - terhasil dalam tempoh empat hari selepas proses penyuburan boleh menjadi apa saja jenis sel termasuk sel stem totipotent dan sel placenta.
c) Sel stem multipotent warisan daripada sel setm pluripotent dan sel lain dalam tisu.
d) Sel progenitor boleh menghasilkan satu jenis sel.

Penyakit yang boleh dirawat menggunakan sel stem
* Barah darah
* Penyakit darah (talasemia)
* Penyakit metabolik
* Keimunan
* Jantung
* Diabetes
* Parkinson

Mengapa perlu menyimpan sel darah tali pusat anak anda?
* Ia adalah aset biologi yang berpotensi menyelamatkan nyawa bayi atau ahli keluarga.
* Proses pengumpulan darah tali pusat tidak invasif, tidak menyakitkan dan tiada risiko pada ibu dan bayi
* Berbanding sel stem daripada sum-sum tulang dewasa, sel stem darah tali pusat lebih mudah diterima badan dan mempunyai risiko penolakan yang rendah

INFO:
Jika dibandingkan dengan pengambilan sel stem tulang sum-sum, proses pengambilan darah tali pusat tidak menyakitkan dan tiada risiko untuk bayi dan ibu. Ia hanya memakan masa lima minit selepas bayi dilahirkan.
Sel stem darah tali pusat tidak memiliki tarikh luput, boleh diwarisi asalkan disimpan dengan teknik yang betul. Ia lebih bagus daripada sel stem tulang sum-sum kerana tidak terdedah pada kuman (kerana diambil sebaik saja bayi dilahirkan) berbanding sel stem tulang sum-sum.
Jika anda ingin menderma sel stem darah tali pusat bayi anda, sila berhubung dengan Pusat Darah Negara. Sekiranya ingin menyimpannya untuk kegunaan peribadi ada dua bank swasta yang boleh anda hubungi.

* Info tambahan, bagi pesakit kanser yang telah melakukan rawatan kemoterapi banyak sel darah merah dan juga imuniti yang mati. Untuk menambah semula sel darah dan imuniti boleh juga guna sel stem ini.

Boleh juga baca disini.

Friday, July 20, 2007

Cerita@KB

Alhamdulillah semalam (jumaat) aku kembali ke Kuantan dengan selamatnya. Gigih sungguh aku nih....tak sempat-sempat nak bermanja lama-lama dengan mak aku dah kena kembali ke Kuantan. Tersentuh hati aku tengok mak melambai-lambai tangan masa melepaskan pemergian ku kembali ke Kuantan...sob...sob...sob...Aku sayang sangat kat mak...aku tahu dia nak aku lama-lama temankan dia kat umah, tapi apa kan daya...

Ermmmm...cerita pasal bengkel tu...semua nya sudah diselesaikan. Aku ke bengkel tu bersama Kak Yani dan Kak Zeehan. Deduanya orang HR. Bengkel tu patutnya habis hari jumaat tapi khamis tu aku dah check out dari hotel. Kak Zeehan dan Kak Yani pulak petang rabu sudah balik Kuantan. Kerja yang patutnya disiapkan dalam masa 4 hari, kami bertiga cuma amik masa 2 hari je untuk siapkan. Memang tak tidur malam jugakla menyiapkannya. Ini semua gara-gara masing-masing ada hidden agenda so kena siapkan semua kerja secepat yang mungkin. Tapikan nampak sangat kehebatan kitorg bertiga nih....kami universiti pertama yang upload data ke server....hebatnya....tapi...ade jugak kelentongan yang terpaksa dibuat demi menyiapkan data-data tersebut. Aku terpaksa redha je sambil dalam hati berdoa semoga data-data tersebut tak di'reject' bila di upload ke server...tapi alhamdulillah selepas 3 kali upload baru la semua ok...bertungkus lumus memperbaiki kesilapan semasa kali pertama dan kedua upload...dan akhirnya semuanya selesai....yeahhhooooooooo.....

Dalam pada kitorg berusaha menyiapkan kerja tu sempat jugak la beronggeng kat KB dan jugak kat Rantau Panjang. Since aku drive sendiri ke Kelantan so kitorg boleh beronggeng dengan jayanya sekali. Aka berdua nih pulak datang dihantar oleh driver. Ya ampunnnnnnnn....seronok aku rasa bawak dorang berdua bershopping...memang shopping yang sakan la dorang ni. Kalau nak membeli tu jenis yang tak fikir2 dah. Rasa nak amik, bayar...rasa tak sesia bawak dorang berjalan-jalan...aku pulak yang jadi soronok tgk diorg bershopping...kedai kat rantau panjang hari tu memang banyak juga yang tutup tapi tak menghalang kitorg bershopping....Dalam masa sejam kat situ macam-macam benda yang dorang beli...aku pun terbeli jugak sehelai blouse, itu pun lepas kena pujuk rayu kak yani...katanya baju tu cantik sangat dan sangat sesuai untuk aku...siap ugut lagi kalau aku takmau beli dia akan beli...hehehhehe...terus je aku gi bayar....itule pengaruh rakan sebaya namanya...penuh jugakla bonet kereta aku tu...dah la kete aku tu comel ajekan...bonet pun kecik je...terpaksala disumbat-sumbat ke bahagian seat kat dalam kete tu....tak bernafas agaknya Kak Zeehan duduk kat seat belakang yang penuh dengan barang....pastu nak keluar dari situ kena pulak tahan dengan Bapak Kastam...siap kena tanya...ni berapa ratus sorang habis belanja?...sib baikle pak kastam tu lepaskan aje kitorg lepas check bonet....lega...

Satu lagi lagi citer yang best nya pasal budu...kat hotel tu setiap kali makan lunch or dinner diorg akan hidang budu...aku tak sangka la pulak dua org akak ni makan budu...setiap kali pergi makan(kecuali breakfast) mesti diorg akan amik budu...memula aku pelikla jugak sebab aku org kelantan pun dah bertahun2 tak makan budu...aku dah lama tak makan budu...seingat aku masa zaman-zaman sekolah lagi, masa tu ayah aku kena strok so terpaksa berpantang banyak benda and salah satu nya budu...jadi aku ni dah lama sangat tak makan budu...lately je kat rumah dah start makan budu balik....bila aku tanya akak berdua tu samada diorg dah pernah makan budu ke before ni...diorg kata datang sini baru makan, sebab masa dlm perjalanan ke KB diorg singgah satu kedai kat Besut and ada budu kat kedai makan tu so diorg cuba....sedap pulak diorg kata...terkagumla aku selepas itu...and aku pun tak terpengaruh jugak...kalau pergi makan mesti aku akan amik budu jugak...Masa ke Pasar Siti Khadijah pun siap beli budu untuk bawak balik Kuantan...gelak je aku ni...aku sendiri pun tak pernah beli budu, dorang pulak yang beli...mengalahkan aku betul akak berdua ni...

Cumanya takde gambar yang diambil sebab kamera ade orang pinjam...dan tak sempat nak bawak mereka balik ke rumah mak walaupun mak jemput dorang datang makan durian kat rumah....

Anyway, aku memang happy sepangjang 2 3 hari di KB bersama dorang....dan aku rasa bangga jugak bila dorang kata soronok datang Kelantan walaupun jauh perjalanannya...katanya barang kat Kelantan murah-murah...and of course sebagai tuan rumah aku rasa seronok dan happy dapat melayan diorang dan memperkenalkan Kelantan dimata mereka....dan peristiwa ini sangat terkesan dihati dan sekarang rasa lebih rapat dengan mereka....:D

Tamat......